Mangsa, Liang Yip Kwang, 65, juga seorang tukang besi maut serta merta, manakala tiga lagi ahli keluarganya, Chew Hong Choo, 76, Luar Chooi Guan, 70-an, dan Luar Seng Ean, 54, cedera parah dalam kejadian ngeri itu.
Menurut sumber, Yip Kwang ketika itu, sedang nyenyak tidur di tingkat atas rumahnya dan mayatnya ditemui tertimbus bersama sisa dinding konkrit dan bumbung rumah, manakala tiga lagi ahli keluarganya mengalami kecederaan parah.
Tindakan pantas pasukan bomba, berjaya menyelamatkan tiga mangsa yang ketika itu dalam keadaan cedera parah dan berada di celah runtuhan rumah terbabit.
Saksi enggan namanya disiarkan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah malam kelmarin dalam keadaan hujan renyai dengan menara kren ‘gergasi’ itu berada dalam keadaan melintang dan menghempap bangunan berdekatan.
“Ketika kejadian, saya dan rakan-rakan sedang minum di kelab malam di sini. Kejadian ini benar-benar menggemparkan kerana dentumannya kuat menyebabkan pengunjung kelab malam, semuanya lari menyelamatkan diri.
“Mulanya kami menyangka ada kemalangan, namun setelah melihat di seberang jalan, kami mendapati menara kren sepanjang 60 meter tumbang dan menghempap rumah terletak di persimpangan jalan antara Jalan Transfer dan Jalan Bahari,” katanya kepada Sinar Harian kelmarin.
Difahamkan, menara kren itu digunakan untuk projek pembinaan hotel 20 tingkat terletak kira-kira 30 meter dari rumah mangsa. Menara kren itu turut menghempap bangunan menempatkan pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan mengalami kerosakan di tingkat tiga dan lima.
Pengarah Bomba negeri, Azmi Tamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.20 pagi dan lima jentera membabitkan Balai Bomba Jalan Perak, Lebuh Pantai, Bagan Jermal, Bayan Baru dan bomba sukarela bergegas ke lokasi kejadian.
“Dua mangsa awal termasuk seorang wanita dilaporkan parah di kepala dan badan berjaya dibawa keluar kira-kira jam 12.30 pagi dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Mangsa ketiga, seorang lelaki warga emas turut mengalami kecederaan terpaksa dibawa turun melalui tingkap, kira-kira jam 1 pagi manakala mangsa terakhir yang maut dikeluarkan kira-kira sejam kemudian,” katanya di lokasi kejadian kelmarin.
Menurutnya, usaha mengeluarkan mayat dilakukan dengan berhati-hati kerana pasukan penyelamat terpaksa mengangkat runtuhan dinding konkrit dan juga kren terbabit.
“Hasil siasatan awal kita tidak menolak kemungkinan faktor angin kuat dan keadaan hujan sejak beberapa hari lalu, membuatkan menara kren itu tumbang. Bagaimanapun, kes ini akan diserahkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (Dosh) untuk siasatan lanjut selain mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Mungkin disebabkan angin kuat kt Penang, last day masa ada kt Penang before balik ke Pahang, memang angin kt Penang time 2 tiga pagi kuat sangat.. tak mustahil kren tu boleh tumbang..
Story by Ibnushukran
Tags: Berita Semasa