1

Gaddafi Dikebumikan Di Gurun Sahara

Filled under : Berita Semasa


MISRATA - Jenazah bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi telah dikebumikan di sebuah lokasi rahsia di gurun Sahara semalam bersama dengan seorang anak lelakinya, Motassim, kata seorang pegawai kerajaan sementara.
"Jenazah itu telah dibawa pada awal pagi dan baru dikebumikan di gurun bersama dengan anaknya," kata pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) itu, Abdel Majid Mlegta.
Menurutnya, hanya dua orang yang amanah diberikan kepercayaan untuk melakukan misi rahsia itu.
"Mereka itu bukannya pengawal tetapi orang amat dipercayai NTC," katanya.
"Apa yang boleh saya katakan adalah proses pengebumian itu memakan masa dan dilakukan jauh daripada pihak media," tambahnya.
Solat jenazah dua beranak itu dilakukan oleh guru agama peribadi Gaddafi, Khaled Tantoush.
SEORANG jurugambar semalam merakamkan tempat mayat Muammar Gaddafi diletakkan di dalam sebuah bilik sejuk beku di Misrata sebelum ia dipindahkan untuk dikebumikan di gurun Sahara.


Khaled ditangkap bersama dengan Gaddafi sebelum mereka berpindah dari Misrata.
Dua sepupu Gaddafi, Mansour Dhao Ibrahim dan Ahmed Ibrahim yang ditangkap bersama Gaddafi selepas konvoi dinaiki mereka diserang jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dekat Sirte, bandar kelahiran Gaddafi, turut menghadiri penghormatan terakhir untuknya.
Jenazah itu dikebumikan pada waktu subuh.
Gaddafi, 69, mati akibat kecederaan ditembak di bandar kelahirannya selepas dia ditemui dalam saluran pembetungan di bawah sebuah lebuh raya pada Khamis lalu.
Anaknya, Motassim turut mati ditembak dekat leher selepas ditangkap oleh para pejuang NTC.
Mayatnya itu kemudian dipamerkan kepada orang ramai di dalam sebuah bilik sejuk di sebuah pasar di Misrata.
Sebelum dikebumikan, pemerintah sementara Libya telah bertindak melarang orang ramai daripada melihat jenazah Gaddafi, anak lelakinya, Mutassim dan seorang ketua tenteranya, Abu Bakr Younis.
SEORANG wanita melihat jenazah Muammar Gaddafi di sebuah bilik sejuk beku di Misrata kelmarin.


Keputusan itu dibuat selepas ribuan penduduk Libya melihat sendiri jenazah bekas pemimpin Libya itu.
Beberapa pengawal mengunci pintu pagar yang menempatkan bilik sejuk beku tempat jenazah Gaddafi bersama dua yang lain disimpan di Misrata.
Pintu peti sejuk beku itu yang kerap dibuka bagi membolehkan orang ramai masuk menyebabkan ketiga-tiga jenazah tersebut cepat mereput dan berbau busuk.
Pengawal-pengawal memberikan topeng bedah kepada pelawat untuk melindungi mereka daripada bau busuk. Mereka juga menyembur bahan pembasmi kuman pada jenazah tersebut.
Menurut beberapa pengawal di pintu pasar tersebut, satu konvoi empat hingga lima buah kenderaan terlibat dalam proses membawa jenazah berkenaan pada lewat malam kelmarin ke sebuah lokasi rahsia. Kerajaan sementara Libya akan menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat kematian Gaddafi.
Menurut seorang pengawal di pasar itu, dia melihat permit pengebumian tersebut yang menyatakan terdapat dua tembakan, satu di kepala dan satu lagi di dada Gaddafi. - Agensi/kosmo

Related Posts by categories



Story by Ibnushukran

Tags: Berita Semasa

1 comments

  1. Anonymous October 27, 2011 at 10:12 PM

    alhamdulillah dah dikebumikan....harap2 dicucuri rahmat...amin..al fatihah

    Best Blogger Tips

Leave a reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Menarik

Waktu Solat