KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 akan dimansuhkan terus.
Sehubungan itu, Najib berkata dua akta baru yang sesuai akan digubal bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah untuk memelihara ketenteraman dan keselamatan awam.
Katanya, akta baru itu bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.
"Seperti mana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif.
"Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus...
"Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa," katanya dalam Perutusan Khas Hari Malaysia di Angkasapuri.
Ucapan beliau itu disiarkan secara langsung oleh RTM.
Sehubungan itu, Najib berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.
Katanya, kajian semula komprehensif akan membabitkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.
Beliau berkata, kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.
"Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa," katanya.
mulai hari hak bebas bersuara suara telah diterjemahkan, tiada lagi ISA, tiada lagi mahasiswa bijak pandai akan ditangkap masuk ke ISA, tiada lagi rakyat ditahan apabila tegas bersuara. Permansuhan ini telah dikaji dengan teliti dan harap tidak ada tujuan lain selain dari tujuan keamanan negara. Selamat Hari Malaysia!
Story by Ibnushukran
Tags: Berita Semasa