SEPANG, 10 Okt – Kenyataan Twitter Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Ahad lalu bahawa beliau telah selesai menunaikan ibadah haji sedangkan masih ada rukun haji yang belum dilaksanakan ketika itu telah disalah tafsir, kata Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sambil menolak sebarang andaian kononnya Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa kenamaan lain tidak selesai mengerjakan ibadah haji, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sebagai tetamu diraja kerajaan Arab Saudi, Perdana Menteri serta jemputan yang lain dapat menjalankan ibadah dengan baik.
Bercakap kepada pemberita sejurus tiba dari Tanah Suci di KLIA di sini hari ini, Jamil Khir (gambar) dipetik Bernama Online berkata, Perdana Menteri dan rombongan telah mendapat kawalan yang baik dan teratur bagi menyempurnakan semua ibadah semasa mengerjakan haji.
“Yang dimaksudkan (dalam Twitter Perdana Menteri), bukan selesai ibadat haji (tetapi) selesai wukuf. Wukuf ini dari Zohor 9 Zulhijjah sehingga Maghrib hari yang sama. Jadi yang dimaksudkan selesai itu, selesai wukuf.
“PM selesai (menunaikan ibadah haji). Haji ialah kita mesti pergi di Arafah. Kalau kita tidak berada di Arafah, maka tiadalah haji itu.
“Jadi pada petang itu mungkin... barangkali soalan itu ditanya petang itu... selesai itu, selesai arafah. Haji itu belum selesai lagi.
“Kita masih ada untuk nak melontar selama tiga hari pada hari-hari Tasyrik. Jadi ini yang mungkin disilap faham,” kata beliau.
Bernama dalam laporannya Ahad lalu berkata, Najib dan Rosmah selesai menunaikan ibadah haji bersama jutaan umat Islam lain.
“Alhamdulillah urusan haji kami sudah selesai,” kata Perdana Menteri menerusi laman Twitternya.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di Malaysia.
Najib dan Rosmah ialah antara 28,000 rakyat Malaysia yang menyempurnakan ibadah haji tahun ini.- -MalaysianInsider
Story by Ibnushukran
Tags: Berita Semasa