0

Wanita Kesal Niat Rakaman Bayi Didera Ibu Disalah Erti

Filled under : Berita Semasa





Wanita kesal niat bongkar bayi didera ibu disalah erti
Nur Natasha Aida Ismail
11:00AM Mei 11, 2012

Niat untuk membongkar kejadian bayi didera oleh ibu kandung sendiri selama hampir tiga bulan menjadi episod malang apabila ia disalah erti oleh sesetengah pihak yang menganggap perakam video itu tidak berhati perut.

Perakam video itu dan merupakan saksi kejadian yang ingin dikenali sebagai Shima, 32, berkata beliau menerima pelbagai tohmahan selepas video itu tersebar di media sosial.

"Bukan sengaja saya ingin merakamkan kejadian itu tetapi kerana inginkan bukti untuk diberikan kepada pihak polis bagi memastikan ibu kandung bayi yang berusia 10 bulan (ketika video dirakam) itu menerima hukuman selepas berbulan-bulan dia mendera bayinya, jadi saya terpaksa.

"Untuk mereka yang tidak tahu perkara sebenar, janganlah menuduh membuta tuli dan mengatakan saya bersekongkol, siasat dahulu supaya tahu apa yang berlaku tetapi bila ini yang saya terima saya kesal dan sedih," katanya kepada Bernama sambil mengesat linangan air matanya.

Beliau berkata pada malam kejadian video itu direkodkan sekitar Mei tahun lepas, ibu bayi berkenaan yang berusia 20 tahun bertindak agresif dengan memukul anaknya selepas dia dinasihat agar menghentikan penderaan terhadap anaknya serta menghalang wanita itu daripada berjumpa teman lelakinya.

"Mungkin marahkan saya kerana membebel, wanita itu terus mencapai anaknya yang berada di ruang tamu ketika itu dan meluru masuk ke dalam bilik.

"Wanita itu kemudiannya bertindak untuk mengunci pintu tetapi saya halang sehingga saya sendiri dikasari dan rambut saya ditarik dan diseret keluar dari bilik," katanya.

Beliau berkata selepas bergelut dengan wanita itu, dia akhirnya berjaya untuk berada di dalam bilik berkenaan dan kesempatan itu digunakannya untuk merakamkan tindakan agresif ibu bayi berkenaan.

Shima berkata wanita itu merupakan anak kepada jirannya ketika dia menetap di Damansara Damai.

"Saya kenal dia sebab saya berkawan baik dengan ibu angkatnya ketika saya menetap di Damansara Damai dan apabila ibu angkatnya meninggal, wanita ini membuat keputusan untuk tinggal bersama saya pada Mac tahun lepas," katanya.

Beliau berkata sepanjang wanita itu tinggal bersamanya, emosi wanita itu kerap kali berubah-ubah dan boleh dikatakan agak sosial.

"Saya tidak kisah dia tinggal dengan saya, tetapi dia sosial dan bila keluar rumah keesokan harinya baru balik, bila bergaduh dengan teman lelakinya anak yang akan dijadikan sasaran.

"Saya pernah bertanya kepada wanita itu bahawa dia menganggap anaknya sebagai apa dan katanya anaknya itu hanyalah tempat untuknya melepaskan geram," katanya.

Menurut laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, wanita yang mendera bayi perempuannya sendiri dalam klip video yang kini tersebar di media sosial, sedang menjalani hukuman penjara 18 bulan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana perbuatannya itu.

Kes itu dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 29 Mei 2011 dan tangkapan terhadap wanita itu dibuat pada hari sama.

Berikutan penyebaran video penderaan bayi itu, PDRM menerima hampir 300 aduan dan komen daripada orang ramai yang rata-rata bersimpati dan prihatin dengan nasib bayi itu.



sumber:siasahkini

Related Posts by categories



Story by Ibnushukran

Tags: Berita Semasa

0 comments

Leave a reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Menarik

Waktu Solat